Saturday, March 7, 2015

Now or never?

Semakin meningkat umur kau, kau akan menjadi semakin sedar akan sesuatu fakta. Bahagia bukanlah sesuatu yang ada pada masa hadapan semata-mata.

Bahagia sebenarnya telah ada di depan mata. Cuma sebagai manusia, kau kadang-kadang tak sedar akan bahagia pada masa yang ada, pada perkara yang ada di depan mata.

Dulu aku berada di Australia, menikmati semuanya. Namun, jauh di sudut hatiku, aku sentiasa mendambakan Malaysia kerana aku percaya, aku akan lebih baik di Malaysia. Malaysia adalah tempat aku akan menjadi bahagia sebahagianya..

Kini? aku mula mengerti Malaysia tidak seindah yang aku damba. Tapi, aku tidak pernah menyesal. kerana aku mula faham, Bahagia tidak bergantung kepada masa, ataupun keadaan yang kau ada, tapi, bahagia bergantung kepada bagaimana kau menggunakan masa, dan bagaimana kau memanfaatkan keadaan kau. Benar Malaysia bukan seindah yang aku damba, tapi itu tidak bermaksud aku mengabaikannya.

Maka, jika aku ingin bahagia, bukanlah bermaksud aku harus berhijrah ke Australia, tapi, apa yang aku harus buat adalah berhijrah ke arah diriku yang lebih baik. Supaya, aku samada di Malaysia ataupun Australia, aku masih merasa bahagia!

Di Australia, di jepun, di Amerika, di London, di mana-mana tempat, dan pada bila-bila masa. Semua itu tak mempengaruhi kebahagiaan kau. Apa yang mempengaruhi kebahagiaan kau adalah usaha kau memanfaatkan semua benda yang kau ada.

Kau boleh berada dalam rumah buruk, tapi masih merasa bahagia. Kau boleh berada di rumah yang mewah, tapi tidak sebahagia di rumah buruk.

Manusia kerap tertipu dengan apa yang dia belum ada, sehingga melepaskan apa yang dia ada. Dia kerap tertipu dengan angan-angan, sehingga dia lupa untuk menikmati dan mempergunakan sebaiknya apa yang ada di depan mata.

Kita berangan-angan akan dapat meningkatkan amal ibadah menjelang penghujung usia, namun, jika tubuh merasa lemah untuk melakukan ibadah di usia muda, apatah lagi di penghujung usia? Kita berangan-angan akan merasa bahagia dengan hidup bersama si dia, namun adakah itu sesuatu yang pasti? adakah si dia akan membahagiakan engkau? Memang bukan jawapannya "tidak mungkin", tapi yang pasti jawapan nya "mungkin tidak".

Pengajarannya, jangan kau harap kau hanya akan bahagia di masa hadapan, sehingga kau mengabaikan masa yang kau ada sekarang. Dan jangan kau letak asbab kebahagiaan pada orang lain selain engkau. Manusia yang dapat membahagiakan engkau, adalah diri kau sendiri.

Jangan menanti bahagia. Bergeraklah menuju bahagia. Bergeraklah terus maju ke hadapan. Ingat, pastikan kau boleh bahagia, walau apa pun suasana yang kau hadapi. Bahagia berada di dalam hati. bergantung pada persepsi!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment